Ahad, 17 Julai 2022

Sajak Buat Ibu





Ma, Terima kasih atas segalanya,
Enam puluh satu tahun dahulu,
Dengan izin ALLAH, Ma dan Abah telah bertemu,
Di atas pelamin, dua cinta menjadi satu,
Cantik berseri bagaikan raja dan ratu,
Permulaan kisah kehidupan yang baru,
Sebuah keluarga bahagia di simpang tokku.

Ma, Terima kasih atas segalanya,
Empat lelaki empat perempuan,
Lapan anak yang Ma kandungkan,
Memamah kudrat menahan kesakitan,
Melahirkan dan membesarkan,
Mendidik dan memberi kasih sayang,
Tanpa sebarang rungutan ,
Tanpa sebarang keluhan.

Ma, Terima kasih atas segalanya,
Dikala Ma besarkan kami dengan kebahagiaan,
Kami banyak menyusahkan dan memenatkan,
Kami banyak melakukan dosa dan kesalahan,
Kami banyak derhaka dan mengecewakan,
Kami banyak ingkar dan menghiris perasaan,
Namun Ma tak pernah jemu atau putus harapan,
Terus mengasihi kami tanpa kekurangan,
Kasih sayang Ma tiada tandingan.

Ma, Terima kasih atas segalanya,
Sesungguhnya pengorbanan Ma cukup suci seputih salju,
Walaupon kami memenatkan namun Ma tidak pernah jemu,
Tiada apa yang kami mahukan kecuali restumu,
Kerana syurga kami di bawah telapak kakimu,
Kenangkanlah kami di dalam doamu,
Redhoilah kami di dalam sujudmu,
Izinkan kami terus membahagiakan hatimu.

Ma, Terima kasih atas segalanya,
Maafkan kami atas segala kekurangan dan kelemahan,
Maafkan kami atas segala kenakalan dan kedegilan,
Maafkan kami atas segala kederhakaan dan kejahilan,
Ampunkan kami atas segala dosa dan kesalahan,
Agar hidup kami diredhoi dan diberkati,
Agar hati kami sentiasa tenang dan suci,
Dalam mengharungi liku-liku hidup ini.

Ma, Terima kasih atas segalanya,
Tiada apa yang mampu kami balas,
Setimpal pengorbanan yang telah Ma galas,
Hanya sekeping hati dari kami yang tulus ikhlas,
Untuk menyayangi dan mengasihi Ma tanpa batas,
Dengan kasih sayang se alam semesta yang luas,
Bersama cinta tulus sejati seteguh emas.

Ma, Terima kasih atas segalanya,
Lapan orang anak mampu Ma besarkan,
Dengan kasih sayang yang tak pernah padam,
Tanpa sebarang keluh atau kepenatan,
Hanya satu yang kami impikan,
Semoga kami anak yang lapan,
Mampu memberi kebahagiaan kepada Ma seorang,
Hingga ke akhir zaman.

Ma, Terima kasih atas segalanya,
Katakan apa saja yang ma ingini,
Lautan api akan kami renangi,
Gunung tertinggi akan kami daki,
Seindah pelangi akan kami cari,
Kasih sayang kami tak kan pernah pergi,
Walau ribut taufan melanda kanan dan kiri,
Ma akan sentiasa kekal permaisuri di hati kami,
Hingga ke syurga nanti.


Sajak ini telah dibacakan oleh 8 orang anak Ma pada Hari Keluarga A&A 2022.

Isnin, 13 Jun 2016

Kenangan Ketika Remaja

Setiap tibanya Bulan Ramadhan, banyak kenang-kenangan masa dulu, masa alam kanak-kanak dan remaja menjelang dalam ingatan dihati. Sejak zaman belum bersekolah lagi bulan ramadhan atau kami sebut bulan puasa merupakan bulan yang kami sukai. Siang malam berulang alik ke masjid, waktu pagi tunggu zohor, kami dan kawan-kawan berkumpul dan rehat serta tidur dimasjid iaitu masjid Tokku Tuan Besar sekarang. Masa itu masjid masih bangunan kayu berlantai simen.

Menjelang tengahari, kami memungut pucuk kayu di kawasan berhampiran dan mengumpulkanya untuk dibuat bubur lambuk. Sesudah solat zohor, kami menyediakan kayu serta membersih pucuk kayu yang dipungut dan dikumpulkan. Lepas solat asar, baru kami nyalakan api, membasuh beras yang telah disediakan dan memasak bubur lambuk dalam periuk besar dan kami bergilir2 menjaganya. Masa itu orang dewasa bermain sepakraga didepan menara, mengisi masa menunggu masuk waktu berbuka. Golongan remaja yang tidak bermain sepakraga membantu kami masak bubur.

Gambar Hiasan

Bila masuk waktu berbuka, kami ramai-ramai berbuka dengan bubur lambuk dan solat magrib berimam. Selepas itu kami sambung makan berbuka dirumah. Sesudah makan, aku mandi dan bersiap untuk solat Isyak dan Terawih serta tadarus Quran  di masjid. Pendek kata, masa kecilku banyak di masjid. Hari jumaat dan malam jumaat menadah kitab bapaku mengajar, selain mengaji Quran dirumah. Setelah aku dimasukan ke Sekolah Rendah Chabang Tiga, keadaan mula berubah. Aku dapat ramai kawan baru. Aktiviti harian juga berubah. Aku mula minat memancing di padang hiliran, dalam sawah padi (tapak pusat beli belah Mydin sekarang) pancing ikan puyu, ikan sepat, dan ikan selat. Waktu malam pula kami tahan taut untuk ikan keli dan ikan haruan, Kadang-kadang dapat, kadang-kadang tidak. Tengahari main wau. Musim hujan mandi dalam parit kat rumah. Ibu dan ayah tak ambil kesah, belajar pun kurang diambil berat, tak ada kelas tambahan macam sekarang.  

Jumaat, 31 Ogos 2012

Kenangan Merdeka 1957

Tunku Abdul Rahman melaungkan kemerdekaan


Setiap kali menjelang tarikh keramat 31 Ogos, Aboh sering teringat kenangan lama 31 Ogos 1957, waktu itu umor abah belasan tahun, mengikuti rombongan ke Kuala Lumpur menyambut saat bersejarah kemerdekaan tanahair. 

Bas yang membawa rombongan tersebut sangat buruk, beberapa kali rosak dalam perjalanan dan diisi air dalam tangkinya.  Keadaan dalam bas yang tidak mempunyai penghawa dingan sungguh menyeksakan. Sudahlah terpaksa menaiki lebih kurang enam buah feri, iaitu di: Kuala Ibai, Marang, Dungun, Paka, Cukai dan Temerloh. Bas bertolak selepas subuh dan sampai di KL lewat tengah malam. Rombongan kemudiannya ditempatkan disebuah bagunan sekolah dan tidur di atas susunan kerusi di dalam bilik darjah. Kalau tak salah ingatan Aboh, nama sekolah tersebut ialah Sekolah Melayu Pasar Road.

Perkhidmatan Feri

Tarikh sampai di KL ialah 30 Ogos 1957. Masih ingat malam itu semua hotel/rumah tumpangan penuh sesak dengan rombongan dari seluruh negara. Orang-orang kenamaan dari Terengganu ketika itu kebayakanya tingga di hotel yg agak besar ketika itu, iaitu New Hotel, di Jalan Chow Kit.

Jumaat, 7 Oktober 2011

08 ~ Engku Pengiran Anum

Keratan akhbar Sinar Harian 7 Oktober 2011


Sedikit catatan mengenai Engku Abdul Kadir, Ayahanda Walid, dipaparkan dalam singkapan 'Suatu Ketika Dulu' akhbar Sinar Harian (Jumaat, 07 Oktober 2011, mukasurat T16).
"Sinar Harian difahamkan dalam lingkungan 1937, Batu Rakit telah ditadbir seorang pegawai daerah yang dikenal sebagai Yang Mulia Syed Abdul Kadir Abdullah Al-Aidrus dan bergelar Yang Mulia Engku Pengiran Anum manakala dalam kalangan penduduk Batu Rakit beliau lebih dikenal sebagai Engku Kadir.
Semasa pemerintahannya, beliau begitu menitikberatkan soal kemajuan ekonomi dan pendidikan penduduk setempat dan hasil usaha beliau juga terbinanya Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Rakit pada 1937 hingga kini."
-Sinar Harian-

Selasa, 19 Julai 2011

07 ~ Abah dan Politik

POLITIK

Disekitar tahun lima puluhan, apabila PAS lahir (1951) dalam umur belasan tahun, abah mula minat menceburkan diri dalam politik, dengan seorang kawan rapat yg masih hidup sekarang Engku Muhsein Zainal Abidin, Cabang Tiga dan beberapa yg lain menubuhkan cawangan Pemuda PAS Kuala Terengganu, berpejabat di rumah Yg. Di Pertua Cawangan (Ranting) Kuala Terengganu Encik Su Dato' Amar Jalan Paya Bunga.  Aboh dan kawan-kawan berbasikal masuk kampung mencari Ahli baru. PAS yg lahir daripada pepecahan Dewan Ulamak UMNO mendapat sambutan baik dikalangan Alim Ulamak tempatan. Mesyuarat Agung penubuhan diadakan di Istana Kolam (Tapak Flat Kolam sekarang), ketika itu seingat abah Ketua PAS Negeri, Tuan Hj. Ahmad Fuad, dan Pesuruhjayanya Ustaz Ahmad Azam, kedua2-nya berasal dari Bukit Mertajam. Ahmad Azam adalah penjual Buku-Buku Ugama di Gong Kapas dan Abah selalu dan sangat rapat dengan mereka. Yang Di Pertua (Presiden) PAS Pusat ketika itu ialah Dr. Burhanuddin, juga berasal dari Perak.

1959

Dlm Pilihanraya 1959, PAS berjaya menubuhkan kerajaan di Terengganu Tapi olih kerana Yang Di Pertua PAS Negeri dan Pesuruhjayanya adalah anak Perak, seorang tokoh yg kurang dikenali dari Setiu  En. Daud Samad dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu. Malangnya olih kerana kurang berwibawa, beberapa orang tokoh ADUN PAS meninggalkan parti tersebut, antaranya ialah Tuan Hj. Wan Said dari Besut, Tuan Hj Kader (Padang Midin), Hj Shafie (Durian Guling) dan ramai lagi. Maka jatuhlah kerajaan PAS Terengganu ketika itu. Dalam pilihanraya tersebut Ki Tuan Hitam (semuga Allah cucuri rahmat keatas rohnya) pernah menjadi pencadang seorang calun di Kuala Terengganu.


Isnin, 11 Julai 2011

TERIMA KASIH DARI ABOH & MA


Ucapan Penghargaan

Hadiah kenangan dari anak-anak


AlhamduliLLah.. 4 Putera, 4 Puteri..



Aboh dan Ma merakamkan ucapan terima kasih kepada semua anak menantu dan keluarga masing2 kerana mengadakan majlis Jamun dan Persembahan ucapan menyambut Jubli Emas (50thn) perkahwinan Aba & Ma yg diadakan di Puncak Gemilang Primula Beach Hotel K.Trg. pada 9hb Julai 2011 baru-baru ini. 

Abah & Ma merasa sungguh terharu menerima penghormatan dari anak buah dan berdoa untuk semua semuga hidup dalam aman sejahtera dan harmoni sesama saudara. Terima kasih kepada yang datang berkumpul dari jauh, khususnya dari Qatar, Cardiff UK, Kajang Selangor, Alor Lintang Besut, Gong Badak, Kuala Ibai, Bukit Besar dan Gong Kapas.

Terima kasih.

Jumaat, 10 Jun 2011

UJIAN ALLAH KPD ABAH.

"Barangsiapa yang Allah mahukan kebaikan untuknya nescaya dia akan mengujinya dengan kesusahan". (Hadith Bukhari).

Pada 24hb Mei 2011 bilik pejabat abah (di 509) dimasuki pencuri kira-kira jam 5.00 pagi setelah pintunya dibuka dari luar. Abah kehilangan sebuah Laptop pemberian Har beberapa bulan lalu, jam tangan pemberian Salmah kira-kira 10 tahun yg lalu serta beg duit  pemberian Gie kira-kira 5 tahun lalu yg abah letak dalam saku seluar dan sangkut dipejabat. Hilang bersamanya Kad Pengenalan, lesen mandu serta RM200.00 wang tunai dikebas. Abah telah buat report Polis dan buat penukaran baru semuanya.

Alhamdulillah, abah nak sampaikan ucapan terima kasih kerana simpati anak-anak. Semuanya abah dapat gantian, Laptop yg lebih canggih abah dapat hadiah daripada Yie melalui Har yang kebetulan berada di Qatar masa kejadian, jam tangan dihadiahkan olih Har dan dompet disumbangkan olih Adie & Dora. Syukran untuk semua. K juga telah menggantikan RM200 wang abah yang secara kebetulan singgah satu malam dirumah dalam perjalanan hantar Salman ke Tahfiz Besut. Itulah hikmat Allah untuk menukar barang2 terbaru semuanya.

Kepada anak-anak lain yg menghantar mesej simpati dan kata-kata semangat, abah ucapkan terima kasih. Semuga diberkati Allah jua. Kepada Har dan Salmah di Tanah Suci sekarang abah doakan semuga selamat sejahtera mengerjakan Umrah serta dapat kembali nanti dengan selamat.

Terima kasih.. Kepada pencuri berkenaan abah doakan semuga Allah memberi pertunjuk kepadanya agar tidak melakukan lagi kerja-kerja terkutuk itu. Terima kasih semua yang simpati. Semuga Allah berkati semuanya.

06 ~ TOK MA (Allahyarhamah Tuan Akmal)

Allahyarhamah Bonda abah, Tuan Akmal Bt. Tuan Long (Tok Ma), atau nama sebenarnya Sharifah Fatimah Bt. Syed Mohamad dilahirkan pada tahun 1922 di Kg. Paloh, Kuala Terengganu. Ayahandanya Syed Mohamad (Tuan Long) Adalah Cucu Kpd. Syed Abdul Rahman (Tok Ku Paloh), Ulamak terbilang, iaitu anak sulong kpd Syed Abdullah (Tuan Muda). Olih kerana anak sulong tapi namanya Tuan Muda, Allahyarham dipanggil dengan nama "Tuan Muda Tua". Semua adik beradik Syed Mohamad (Ayahanda Tok Ma) telah meninggal dunia, iaitu; Syed Omar (Tuan Sharfff), Tuan Seri, Tuan Gunong, Syed Abdul Rahman (Tuan Hadi),  Syed Ahmad (Tuan Habib) dan Syed Mustaffa (Tuan Basin). Semua arwah ini tinggal dan kembali ke Rahmatullah di Kg. Paloh, kecuali Syed Ahmad Tinggal dan meniggal dunia di Kg. Hiliran. (semuga Allah merahmati roh semuanya). Semua jenazah mereka dimaqamkan di Pusara Bukit Paloh dan hanya jenazah Syed Mohamad (Ayahanda Tok Ma) sahaja dimaqamkan dalam pagar bersama Atoknya Syed Abd Rahman (Tok Ku Paloh). 

Bonda Tok Ma (nenek Abah), Hajjah Endut Mariam Bt. Mohamad berasal dari Kampung Pulau Musang, beberapa kilometer dari Kampong Paloh. Ketika itu Kg. Pulau Musang terkenal mempunyai penduduk-penduduk terdiri daripa perawan dan anak-anak gadis  jelita dan berkulit putih, sesuai dengan perkampongan dirimbuni pokok-pokok duku, dengan lokasinya ditepi sungai. Tapak rumahnya hingga sekarang dipenohi pokok-pokok duku, milik abah bersama Che Yah (pusaka dari Tok Ma).

Adik Beradik Tok Ma

Tok Ma mempunyai tiga orang saudara lelaki dan dua saudara perempuan (berlainan Ibu) serta seorang sahaja adik perempuan seibu yang meninggal dunia semasa kecil (Allahyarhamah Tuan Maznah).  Abang/Kakak Tok Ma berlainan Ibu ialah: Syed Abdullah (Engku Sabit), Syed Abdul Rahman (Engku Zaimah), Syed Mohamad (Engku Nanas), Engku Maziah dan Engku Halias (Engku Dayang), hasil perkahwinan ayahanda  Tok Ma dengan Engku Poh. Seorang lagi mak tiri Tok Ma bernama Che Teh berasal dari Kg. Kota, Manir dan diakhir hayatnya tinggal dan meninggal dunia di Sungai Lembing, Pahang,  Perkahwinan Ayahanda Tok Ma dengan Che Teh ini tiada memperolehi zuriat.

Tok Ma Semasa Kecil dan Remaja

Semasa kecil dan Remaja, Tok Ma selalu berulang alik antara Kg. Pulau Musang (Kg. Kelahiran bondanya) dan Kg. Paloh (Kg Kelahiran Ayahandanya). Di Kg. Paloh, orang paling rapat denganya ialah bernama Che Yam, isteri kepada bapa saudaranya Syed Omar Tuan Shariff (berasal dari Pulau Musang). Manakala di Kg. Pulau Musang juga sangat rapat dengan seorang kawan yg juga bernama Che Yam (Hajjah Mariam, Isteri Hj.Wan Musa). Selain itu Tok Ma juga rapat dengan sepupu-sepupunya, Che Gayah (tinggal dan meninggal dunia di Padang Jambu, Dungun) dan Che Chik (tinggal dan meninggal dunia di Bukit Besi, Dungun) Di Kg Kelahiran ayahandanya (Kg.Paloh) Tok Ma belajar ugama dan mengaji AlQuran antara gurunya ialah Tuan Gunong yg terkenal dengan panggilan Tok Nyang (Mak Saudaranya) iaitu isteri kpd Tuan Sulong, (atok kpd Syed Hisham Pendakwah Bebas TV 9 yg juga anak sepupu aboh). Tuan Sulong juga guru pengajian ugama kepada Ki Tuan Hitam yg berulang alik ke Kg Paloh ketika itu. Mungkin disinilah pertemuaj jodoh Tok Ma dengan Ki Tuan Hitam.


Selasa, 19 April 2011

05 ~ KI TUAN HITAM (Allahyarham Syed Saggaf)

Arwah Ki Tuan Hitam

Nama sebenar Ki Tuan Hitam ialah Syed Saggaf Bin Syed Ahmad Bin Syed Mohamad (Tok Ku Tuan Besar) Bin Syed Zainal Abidin (yang mula2 datang ke Negeri ini dari Hadzralmaut- Yaman). Syed Zainal Abidin telah mendirikan sebuah Surau di Kampung Tok Ku yg kini dijadikan Masjid (Masjid Tok Ku). Manakala Tok Ku Tuan Besar adalah ayah kepada Syed Abdul Rahman (Tok Ku Paloh - Ulamak terbilang).

Arwah yang dilahirkan pada tahun 1910 mempunyai  seramai 8 orang adik beradik,  seorang abangnya bernama Tuan Hitam meninggal dunia semasa kecil dan Ki telah diberikan nama yang sama (Tuan Hitam) sebagai gantinya.  Adik beradik yang lain ia lah: Syed Mustaffa (Tuan Muda), Syed Idrus (Tuan Chik), Syed Mohamad (Tuan Dalam), Syed Abdul Rahman (Tuan Sembok), Syed Husein (Tuan Baru), Syed Saggaf (Tuan Hitam) dan Syed Abu Bakar (Tuan Sidek).

Isteri pertama Ki adalah Sharifah Fatimah (Tuan Akmal), berolih seorang anak lelaki, (Syed Abdullah - Aboh) dan seorang anak perempuan (Tuan Rahimah - Che Yah), manakala isteri keduanya adalah Hajjah Maimunah, berolih seorang anak perempuan (Sharifah Faizah - Che Jah).

Sejak kecil Ki didapati sangat minat dan cenderong mempelajari  kitab-kitab secara tradisonal dibeberapa buah masjid dan berguru dengan beberapa orang guru ugama terkenal ketika itu, termasuk Hj. Mat Shafie (Pondok Kg. Losong) dan Tok Ku Tuan Sulong, Kg. Paloh. Ki sangat minat mendalami ilmu Fekah, Tauhid dan Tafsir, sehinggalah bolih menguasai Bahasa Arab (Menulis dan Membaca) dengan baiknya. Semasa remajanya Ki terus menimba segala ilmu pengetahuan ugama. Adik beradiknya yang lain banyak menumpu kepada perniagaan dan pertanian (Berkebun). Bondanya Allahyarham Nik Ngah (berasal dari Kg. Tok Kaya) pernah bercerita kepada Aboh bahawa Ki sangat minat belajar ugama ke merata cerok kampung dimana saja ada orang mengajar ugama.

Khamis, 24 Mac 2011

04 ~ WALID (Allahyarham Dato' Engku Embong Idrus Abdul Kader)

Arwah Walid

Walid dilahirkan pada hari Sabtu 11 Disember 1915 di Bukit Keledang, K.Trg. Mendapat pendidikan awal mengaji Quran dengan Che Joh,  bekas isteri Tok Gajah, (ayah pahlawan melayu terbilang Mat Kilau) yang ketika itu tinggal di Hulu Terengganu. Che Joh yang juga ibu tiri Mat Kilau berkahwin dengan ninda Walid (Engku Sar). Setelah tamat 2 juzuk al-Quran, Che Joh kembali ke RahmatuLLah (Semuga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya) dan Walid menyambung pelajarannya dengan seorang guru di Kg. Banggol K.Trg. bernama Hj. Sulaiman hingga tamat.

PERSEKOLAHAN

Apabila  usianya meningkat 8 tahun (1923), beliau memasuki Sek. Melayu Bukit Jambol, Sekolah Melayu Paya Bunga dan selepas itu terus sambong pelajaran ke Sekolah 'Arab Al-'Atas Johor Baharu. Pada tahun 1935 mula berkhidmat sebagai Guru Ugama di Kuala Terengganu.