Khamis, 24 Mac 2011

04 ~ WALID (Allahyarham Dato' Engku Embong Idrus Abdul Kader)

Arwah Walid

Walid dilahirkan pada hari Sabtu 11 Disember 1915 di Bukit Keledang, K.Trg. Mendapat pendidikan awal mengaji Quran dengan Che Joh,  bekas isteri Tok Gajah, (ayah pahlawan melayu terbilang Mat Kilau) yang ketika itu tinggal di Hulu Terengganu. Che Joh yang juga ibu tiri Mat Kilau berkahwin dengan ninda Walid (Engku Sar). Setelah tamat 2 juzuk al-Quran, Che Joh kembali ke RahmatuLLah (Semuga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya) dan Walid menyambung pelajarannya dengan seorang guru di Kg. Banggol K.Trg. bernama Hj. Sulaiman hingga tamat.

PERSEKOLAHAN

Apabila  usianya meningkat 8 tahun (1923), beliau memasuki Sek. Melayu Bukit Jambol, Sekolah Melayu Paya Bunga dan selepas itu terus sambong pelajaran ke Sekolah 'Arab Al-'Atas Johor Baharu. Pada tahun 1935 mula berkhidmat sebagai Guru Ugama di Kuala Terengganu.


Rabu, 23 Mac 2011

03 ~ ANAK-ANAK (PENGENALAN)


Dicatatkan secara rengkas kelahiran anak-anak:

1. AZHARI
Dilahirkan jam 12 tengahari pada 28 Jun 1962 di rumah Simpang Tok Ku, bersekolah di Sek Rendah Tengku Bariah, Sek. Men. Sains Sultan Mahmud Gong Badak dan ITM Shah Alam. bertemu jodoh dengan Sharifah Salmah Syed Alwi (1988) ketika berumor 26 tahun, semasa kecilnya bersifat lemahlembut, dan ada ketikanya agak keras dan panas baran. Hobinya suka mainan yang agak mencabar sesuai dengan kini minat kpd motosikal berkuasa besar dan mengembara.

2. NONI
Seorang anak yg kuat berusaha, kuat membaca, sensetif dan sangat manja dengan Abah. Bila malam selalu berkata "malam ni nak berpelok dengan Abah". Dengan Ma pula suka merajuk. Salah satu sifat yg amat baik ialah bertanggong jawab dengan tugasnya. sifat itu ada hingga hari ini. Noni dilahirkan pada Selasa 14 Mac 1964, bersekolah di Sek. Rendah Chong Hwa We Sing dan Maktab Perguruan Mentakab, Pahang. bertemu jodoh dengan Alias Yusoff (27 Oktuber 1990) ketika umur 26 tahun.

02 ~ CINTA


PERKENALAN

Di zaman tersebut (tahun lima puluhan) pergaulan lelaki dan prempuan sangat terbatas, sama ada disekolah apa lagi dikampung. Abah dan Ma sebenarnya tinggal tak berjauhan dan berulang-alik ke sekolah/masjid/pekan dan lain2 menggunakan jalan yang sama tapi tak pernah bertegor sapa. Itulah indahnya hidup dizaman yang penoh dengan sopan santun, terjauh daripada gangguan syaitan seperti hari ini. Alhamdulillah, Segala puji bagi Allah.

Abah sering terlihat Ma menaiki Beca kesekolah (dipanggil teksi) dan antara pemandunya yg masih hidup hari ini bernama Pak Him (Ibrahim Che Sepiah). Kadang2 Ma naik basikal. Abah dapat melihatnya dari jauh. Ma tak pernah berpaling melihat sekeliling, jauh sekali nak senyum kecuali dengan sesama prempuan sahaja. itulah peribadi Ma yg sangat agong ketika memenjat manis 17.


01 ~ KELAHIRAN

ABAH

Abah dilahirkan dirumah Kg Masjid Tok Ku (rumah lama yg telah dirobohkan) pada 2 Disember 1937, dan nama sebenar tercatat dlm surat beranak asal ialah: Syed Ubaidillah bin Syed Saggaf. entah bagaimana tercatat dlm K/Pengenalan ialah lahir pada 9 Sep. 1938 dengan nama Syed Abdullah bin Hitam (nama sebenar Tuan Hitam ialah Syed Saggaf) keturunan asal daripada Siti Fatimah anakakanda Rasulullah saw dan isteri kepada Saidina Ali, Karramallahuwahjah.

Nenekmoyang Abah (kita semua) berasal dari Hadzralmaut (Yaman) datang ke Terengganu membuka kampung Tok Ku serta mendirikan sebuah surau yang sekarang menjadi Masjid (Masjid Tok Ku). Ki Tuan Hitam mengajar disitu hampir 50 tahun disamping menjadi juru nikah dan Imam dimana Abah sempat belajar kitab dan Quran dengannya (Muga2 Allah rahmati keatas roh Almarhum). Mengikut keterangan bonda Abah, Tok Ma (Sharifah Fatimah), Abah dilahirkan semasa azan subuh malam jumaat akhir Ramadhan. (Semuga Allah rahmati roh Almarhumah). Abah bersekolah di Sekolah Kebangsaan Cabang Tiga, Sek. Keb. Paya Bunga serta Sek. Men. Agama Sultan Zainal Abidin.

Al-Fatihah buat kedua ibubapa Abah.

00 ~ MUKADDIMAH


Assalamualaikum.

Blog ini diterbitkan bagi mengukir catatan kehidupan sebuah keluarga bahagia yang bermula 50 tahun yang lalu, di sebuah kampung bernama Chabang Tiga, Kuala Terengganu. Keluarga yang agak besar, bermacam ragam, dipayungi kemeriahan. Bermula dari perasaan kasih sepasang suami isteri, yang membawa kedunia 4 putera dan 4 puteri. 50 tahun berlalu, alhamduliLLah semua sudah berkeluarga, sudah bahagia. 26 cucu, lambang kekayaan. Ditambah 2 cicit, anugerah Ilahi.

Catatan ini akan mengukir kembali kisah pahit manis sepanjang 50 tahun melangkah takdir. Suka duka yang membawa kepada kebahagiaan duniawi.  Yang manis dijadikan senyuman, yang pahit dijadikan pedoman. Ikatan kekeluargaan yang teguh, membawa keharmonian yang utuh.

Semoga kebahagiaan ini kekal abadi, hingga ke syurgawi. Syukur ALLAH, atas segala kurniaan rezeki.

-AbuAli (editor)-