Isnin, 13 Jun 2016

Kenangan Ketika Remaja

Setiap tibanya Bulan Ramadhan, banyak kenang-kenangan masa dulu, masa alam kanak-kanak dan remaja menjelang dalam ingatan dihati. Sejak zaman belum bersekolah lagi bulan ramadhan atau kami sebut bulan puasa merupakan bulan yang kami sukai. Siang malam berulang alik ke masjid, waktu pagi tunggu zohor, kami dan kawan-kawan berkumpul dan rehat serta tidur dimasjid iaitu masjid Tokku Tuan Besar sekarang. Masa itu masjid masih bangunan kayu berlantai simen.

Menjelang tengahari, kami memungut pucuk kayu di kawasan berhampiran dan mengumpulkanya untuk dibuat bubur lambuk. Sesudah solat zohor, kami menyediakan kayu serta membersih pucuk kayu yang dipungut dan dikumpulkan. Lepas solat asar, baru kami nyalakan api, membasuh beras yang telah disediakan dan memasak bubur lambuk dalam periuk besar dan kami bergilir2 menjaganya. Masa itu orang dewasa bermain sepakraga didepan menara, mengisi masa menunggu masuk waktu berbuka. Golongan remaja yang tidak bermain sepakraga membantu kami masak bubur.

Gambar Hiasan

Bila masuk waktu berbuka, kami ramai-ramai berbuka dengan bubur lambuk dan solat magrib berimam. Selepas itu kami sambung makan berbuka dirumah. Sesudah makan, aku mandi dan bersiap untuk solat Isyak dan Terawih serta tadarus Quran  di masjid. Pendek kata, masa kecilku banyak di masjid. Hari jumaat dan malam jumaat menadah kitab bapaku mengajar, selain mengaji Quran dirumah. Setelah aku dimasukan ke Sekolah Rendah Chabang Tiga, keadaan mula berubah. Aku dapat ramai kawan baru. Aktiviti harian juga berubah. Aku mula minat memancing di padang hiliran, dalam sawah padi (tapak pusat beli belah Mydin sekarang) pancing ikan puyu, ikan sepat, dan ikan selat. Waktu malam pula kami tahan taut untuk ikan keli dan ikan haruan, Kadang-kadang dapat, kadang-kadang tidak. Tengahari main wau. Musim hujan mandi dalam parit kat rumah. Ibu dan ayah tak ambil kesah, belajar pun kurang diambil berat, tak ada kelas tambahan macam sekarang.