Isnin, 13 Jun 2016

Kenangan Ketika Remaja

Setiap tibanya Bulan Ramadhan, banyak kenang-kenangan masa dulu, masa alam kanak-kanak dan remaja menjelang dalam ingatan dihati. Sejak zaman belum bersekolah lagi bulan ramadhan atau kami sebut bulan puasa merupakan bulan yang kami sukai. Siang malam berulang alik ke masjid, waktu pagi tunggu zohor, kami dan kawan-kawan berkumpul dan rehat serta tidur dimasjid iaitu masjid Tokku Tuan Besar sekarang. Masa itu masjid masih bangunan kayu berlantai simen.

Menjelang tengahari, kami memungut pucuk kayu di kawasan berhampiran dan mengumpulkanya untuk dibuat bubur lambuk. Sesudah solat zohor, kami menyediakan kayu serta membersih pucuk kayu yang dipungut dan dikumpulkan. Lepas solat asar, baru kami nyalakan api, membasuh beras yang telah disediakan dan memasak bubur lambuk dalam periuk besar dan kami bergilir2 menjaganya. Masa itu orang dewasa bermain sepakraga didepan menara, mengisi masa menunggu masuk waktu berbuka. Golongan remaja yang tidak bermain sepakraga membantu kami masak bubur.

Gambar Hiasan

Bila masuk waktu berbuka, kami ramai-ramai berbuka dengan bubur lambuk dan solat magrib berimam. Selepas itu kami sambung makan berbuka dirumah. Sesudah makan, aku mandi dan bersiap untuk solat Isyak dan Terawih serta tadarus Quran  di masjid. Pendek kata, masa kecilku banyak di masjid. Hari jumaat dan malam jumaat menadah kitab bapaku mengajar, selain mengaji Quran dirumah. Setelah aku dimasukan ke Sekolah Rendah Chabang Tiga, keadaan mula berubah. Aku dapat ramai kawan baru. Aktiviti harian juga berubah. Aku mula minat memancing di padang hiliran, dalam sawah padi (tapak pusat beli belah Mydin sekarang) pancing ikan puyu, ikan sepat, dan ikan selat. Waktu malam pula kami tahan taut untuk ikan keli dan ikan haruan, Kadang-kadang dapat, kadang-kadang tidak. Tengahari main wau. Musim hujan mandi dalam parit kat rumah. Ibu dan ayah tak ambil kesah, belajar pun kurang diambil berat, tak ada kelas tambahan macam sekarang.  


Ketika itu belum ada tv, alatan elektronik seperti komputer dan tablet jauh sekali. Kami belum kenal Faebook, SMS, atau seumpamanya. Permainan kami adalah 'game' atas tanah. Gores buat garisan, kemudian lompat2. Atau main galah panjang, main dam, main to-nusuk iaitu sembunyi dan cari. Kadang-kadang main to-nusuk waktu malam, aku masuk sembunyi dalam belukar.. langsong tak takut binatang bahaya seperti ular atau biawak. Kadang-kadang kami tak pakai kasut. Tak takut pula kaki pijak kaca dalam gelap malam tu. Dan yang menggelikan hati, kadang-kadang aku masuk sembunyi dalam semak, terpijak najis orang kerana zaman itu tak ada banyak tandas, orang-orang tua buang najis dalam semak tepi rumah.

Waktu petang selalu juga main bola. Bola getah, tak pakai kasut, kadang-kadang kaki berdarah kerana tersepak tunggul padi  dipadang bola bekas sawah padi. Padangnya tak rata ada lubang-lubang bekas tanam padi. Waktu padi ditanam, tak adalah kawasan main bola.

Kadang-kadang, sesudah solat subuh kami berkumpul ramai-ramai tunggu cina angkat najis dari tandas. Bila cina datang dengan pikul bekas najis, kami sorok ramai-ramai, dan jerit beramai-ramai, "tahi! tahi! tahi!". Cina  marah dan kejar kami. Kami lari lintang-pukang. Bukan takut tapi seronok. Pelik sungguh hobi kami masa kecil.

Setelah usia makin remaja, aku mula sibuk belajar. Tak ada banyak masa main benda-benda bodoh tu. Sambung belajar darjah 6 dan 7 Sekolah Melayu Paya Bunga, Sekolah Arab/Ugama Ladang, Kelas Bahasa Inggeris diwaktu malam di Sekolah Sultan Sulaiman, dan kelas lukisan waktu petang di Sekolah Tengku Ampuan, Kuala Terengganu 

Aku semakin ramai kenal kawan dari luar kampung. Makin kurang bermain, mula menghabiskan masa di bandar sahaja. Dan dah mula kenal panggung wayang. Masa di kampung dulu ada panggung wayang terbuka dikampung Tokku, kawasan tanah lapang depan Restoran Singgang kat simpang Tokku sekarang. Panggung wayang dipagar zin. Tiket 20 sen je, tapi kurang minat. Duduk atas tanah, cerita orang putih, tak reti, cuma sekali sekala cerita melayu dan hindustan.

Bila umur meningkat belasan tahun, keadaan makin berubah, mula minat belajar,  walaupun di sekolah arab pelajarannya agak susah. Waktu belajar dibandar, solat pun tidak masjid Tokku lagi, tapi banyak di Masjid Abidin. Dapat belajar dengan banyak guru, dan ingin cari kerja. Pada satu masa, ketika tamat akhir tahun kelas 7 (kelas khas) di Sekolah Melayu Paya Bunga, Cikgu tanya, "Sapa nak jadi Cikgu angkat tangan!", ada yang angkat, ada yang tidak, aku sendiri tak angkat. Tak minat. Sapa yang angkat jadi guru pelatih. Lepas itu baru pereksa, yang tak lulus terus jadi guru pelatih, yang lulus dihantar Maktab Perguruan Kuala Kangsar.

Sahabat di Sekolah Arab Sultan Zainal Abidin Ladang,
Arwah Hj Hashim A. Rahman


Selepas beberapa tahun di Sekolah Arab Sultan Zainal Abidin Ladang, ketika tu Quran pun tamat, baru minat nak cari kerja kerana nak cari duit belanja. Ibu bapa kurang mampu sangat. Mintak kerja di satu kedai percetakan, Mansur Press, kuala terengganu. Depan Pasar Kedai Payang, Kampung Tengku Penglima Perang. Kerja di situ beberapa tahun berulang alik dengan basikal. Kemudia barulah kawin. Selepas kawin dapat kerja guru kelas dewasa. Kursus di Kuala Lumpur. Beberapa kali naik pangkat jadi penyelia kawasan, penyelia kanan, penyelia ibu pejabat dan akhir sekali Ketua Penyelia Kanan. 

Itulah rengkasan hidupku, dan banyak lagi pengalaman hidup yg belum dicatat disini.

Dicatat oleh SAH. Disunting oleh AbuAli.

5 ulasan:

  1. dalam ramai2 kenalan semasa pengajian, yg mana paling berjaya dalam hidup dan masih aktif hingga sekarang ya?

    BalasPadam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

    BalasPadam
  3. Apa kenangan terindah semasa remaja abah?

    BalasPadam