Jumaat, 31 Ogos 2012

Kenangan Merdeka 1957

Tunku Abdul Rahman melaungkan kemerdekaan


Setiap kali menjelang tarikh keramat 31 Ogos, Aboh sering teringat kenangan lama 31 Ogos 1957, waktu itu umor abah belasan tahun, mengikuti rombongan ke Kuala Lumpur menyambut saat bersejarah kemerdekaan tanahair. 

Bas yang membawa rombongan tersebut sangat buruk, beberapa kali rosak dalam perjalanan dan diisi air dalam tangkinya.  Keadaan dalam bas yang tidak mempunyai penghawa dingan sungguh menyeksakan. Sudahlah terpaksa menaiki lebih kurang enam buah feri, iaitu di: Kuala Ibai, Marang, Dungun, Paka, Cukai dan Temerloh. Bas bertolak selepas subuh dan sampai di KL lewat tengah malam. Rombongan kemudiannya ditempatkan disebuah bagunan sekolah dan tidur di atas susunan kerusi di dalam bilik darjah. Kalau tak salah ingatan Aboh, nama sekolah tersebut ialah Sekolah Melayu Pasar Road.

Perkhidmatan Feri

Tarikh sampai di KL ialah 30 Ogos 1957. Masih ingat malam itu semua hotel/rumah tumpangan penuh sesak dengan rombongan dari seluruh negara. Orang-orang kenamaan dari Terengganu ketika itu kebayakanya tingga di hotel yg agak besar ketika itu, iaitu New Hotel, di Jalan Chow Kit.

Malang bagi kami, di sekolah tempat rombongan Aboh menginap kebetulan terputus bekalan air. Khabarnya, malam itu menjelang 31 Ogos, beberapa kawasan disekitar bandar KL terputus bekalan air kerana terlampau banyak penggunaanya. Bayangkanlah, selepas seharian dalam bas, kami tak dapat mandi dan ke tandas. Dalam keadaan keletihan setelah perjalanan yang jauh, tidak dapat mandi serta berwuduk. Ada antara warga emas peserta bersama rombongan yang hampir pitam. 

Satu pengumuman dimaklumkan supaya semua ahli rombongan dikehendaki berada di Padang Kelab Selangor (depan pejabat pos besar) untuk istiadat mengebarkan berdera Persekutuan Tanah Melayu (ketika itu belum dikenali nama Malaysia) dan menurunkan berdera penjajah, Union Jack, tepat jam 12 tengah malam.  Rombongan Terengganu tak ramai yang pergi, khasnya warga emas kerana terlampau letih. Aboh dan beberapa rakan golongan muda sahaja yang dapat ke sana. Waktu majlis dimulakan, kami rombongan Terengganu sangat merasa bangga kerana barisan Pemuda UMNO yg memegang berdera tersbut termasuk pemimpin pemuda UMNO dari Terengganu, Ayahanda Engku Muhsein Dato' Abdul Kadir (semoga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya - Al-Fatihah). 

Jam 7.00 pagi 31 Ogos 1957, semua rombongan dari seluruh negara mula berkumpul di Stadium Merdeka yg mula pertama kali digunakan pada tarikh tersebut, walaupon belum siap sepenuhnya. Jam 9 pagi, stadium mula dipenuhi pengunjung  dan mula dihadiri oleh Raja-Raja Melayu serta pembesar-pembesar negara yang kebanyakanya berbangsa Inggeris. Semuanya duduk di atas kerusi dipentas khasnya di tengah-tengah padang stadium tersebut. Acara dimulakan dengan bacaan pengisytiharan kemerdekaan oleh YTM Tengku Abdul Rahman Putra al-Haj, yang kemudianya di isytiharkan sebagi Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Perdana Menteri. 

Satu sejarah yg tidak dapat dilupakan ketika itu ialah dapat melihat wajah semua Raja-Raja Melayu dari dekat, kerana ketika itu belom ada TV dan jarang ada gambarnya dalam akhbar. Semua Raja-Raja sekarang adalah anak atau cucu daripada raja-raja ketika itu, termasuk Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin, cucu kepada Tuanku Al-Marhum Sultan Ismail yang menjadi sultan ketika itu.

Barisan Raja-Raja Melayu di atas pentas di tengah Stadium Merdeka

Pada sebelah malamnya berlangsung pelbagai jamuan dan hiburan di banyak tempat di Kuala Lumpur. Aboh dan beberapa rakan muda menghadiri pertunjukan lawak jenaka merdeka di sebuah panggung wayang gambar yang Aboh dah lupa namanya. Dalam ingatan aboh antara pelawaknya ialah Aziz Satar dan Normadiah, yang ketika itu masih muda. Mereka menyanyi dan berlawak jenaka mengenai merdeka. Masih ingat kata-kata Aziz Satar: 'Kami dari Singapura datang ke Kuala Lumpur nak tengok berdera Tanah Melayu yang megah dan cantik, hormatilah bendera anda'. Yang lucunya, lawak yang dibuat, tak ada seorang pun ketawa.

Normadiah pula banyak menyanyi dan langsung tidak menghiburkan. 1 September 1957, rombongan kami pulang dan mengalami naseb yang sama. Hampir 24 jam dalam bas dan menempuh 6 feri yg terpaksa beratur menunggu giliran kenderaan lain.

Alhamdulillah, setelah merdeka hingga sekarang, kita dapat ke KL dalam tempuh 5 atau 6 jam sahaja tanpa menunggu 6 buah feri, dan tanpa mendaki kemuncak Bukit Bentong dan Bukit Kijal. Perjalanan yang cukup selesa dan cepat. Itulah antara nikmat kemerdekaan, nikmat negara yang membangun. Namun nikmat kemerdekaan bukan saja terletak pada pembangunan duniawi, tapi yang lebih penting, kemerdekaan jiwa yang sebelum ini dibelenggu oleh pengaruh dan ideologi penjajah. 

Jika dulu, kesan daripada budaya dan pemikiran yang dibawa penjajah, masyarakat Islam kurang menitik-beratkan soal aurat dan pemakaian berlandaskan ajaran Islam, namun sekarang, generasi selepas merdeka lebih celik dan peka terhadap penerapan budaya timur yang berlandaskan syariat Islam. Jika dulu, jarang wanita menutup kepala, bertudung, tapi sekarang budaya menutup aurat di kalangan wanita makin meluas. Jika dulu kebanyakan wanita berbaju kebaya ketat dengan kain belah, sekarang lebih ramai memakai jubah.

Jika dulu kita anggap bangsa barat sebagai bangsa yang maju dan bertamaddun, jauh lebih hebat dari kita orang Melayu, namun sekarang, Melayu yang merdeka sudah pandai berbahas dengan mereka. Kita makin lantang berjuang menegakkan budaya timur kita yang lebih sopan dan hebat. Kita sudah berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa yang dulunya menjajah negara kita, cuba mengajar kita erti kehidupan mengikut acuan mereka.

Penjajah datang ke Tanah Melayu, cuba untuk merampas khazanah bumi kita, menodai budaya kita serta memesongkan ilmu kita. Namun, atas usaha gigih datuk nenek kita, kita berjaya memerdekakan negara kita, demi menjaga adat, budaya, agama dan khazanah bumi yang kita warisi ini.

Sama-samalah kita pertahankan kemerdekaan kita, agama kita, bangsa kita dan negara kita. Bangsa yang merdeka adalah bangsa yang bersatu, bermaruah dan berpendirian.

Selamat menyambut kemerdekaan Tanah Melayu yang ke 55 tahun. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan